Amaran: Notes to be noted!

Assalam....selamat membaca tapi ada beberapa concern utk diingatkan pada semua..

>>>>Bagi semua yang mengenali pemilik blog nih,segala yang saya curahkan dalam semua karya dan cerita adalah untuk pengajaran sahaja.segala yang diadaptasikan dari kisah hidup saya sendiri adalah tidak ada kena mengena dgn semua org lain yang ada dalam hidup saya.

>>>>Saya harap sgttt saya sebagai tanah di blog ini tak dicomparekan dgn saya yang berada di luar.

>>>>Segala luahan dan curahan perasaan saya(termasuk yang saya selitkan dlm cerpen) di blog nih adalah private dan tidak boleh dibawa keluar melainkan komen di blog ni sahaja..

>>>>Segala komen biarlah disertakan nickname dan bukan anonymous namun tiada paksaan dikenakan.

>>>>Boleh share posts saya di medium lain dgn syarat saya masih lagi diauthorized sbg pemilik post.

>>>>Selamat membaca dan mengambil ibrah dari post2 yang bermanfaat...maafkan segala salah silap..jzkk

[Cerpen] Pena Adiwira

Saturday, 1 October 2011

Bismillah
Salam
.Pernah baca/tonton anime death note?

i.allah ini versi tarbiyah islami

(^_^)

-Harap pembaca suka-

________________________________________

[Cerpen] Pena Seorang Adiwira.


Enjin kereta dimatikan. Namun dia hanya diam membatu di tempat duduk pemandu. Pandangan matanya sahaja yang meruncing ke arah televisyen yang terpasang di dalam sebuah restoran kira-kira 20 meter dari tempat dia memarkir kereta. Dia merendahkan lagi cermin tingkap keretanya agar suara pembaca berita yang sedang rancak mewartakan khabar-khabar semasa kepada umum sampai juga ke telinganya.


“Fabio Manchenta.” Satu nama singgah di bibirnya. Dari saku kiri seluarnya, dia mengeluarkan sebuah buku 555. Sebatang pen berwarna emas dengan jalur perak dibawa menari di atas helaian buku kecil itu. Nama yang disebut tadi ditulis beserta dengan perinciannya yang diperoleh daripada bicara si penyampai berita. Sesekali keningnya berlaga tatkala dia meneliti catatannya. Bibirnya pula diketap-ketap. Tidak berlengah sebaik siaran berita tamat, dia terus menghidupkan enjin keretanya.


“Kau yang seterusnya Fabio,” bisiknya perlahan namun tetap terasa hablur kemarahan dalam nadanya. Kerete dipandu pergi-laju menyusur di atas jalan raya.


*****


Malam itu seharusnya tenang bagi penghuni-penghuni kediaman di kawasan perumahan Abbey Avenue. Namun, sebaliknya pula yang berlaku. Jeritan nyaring seorang lelaki diikuti bunyi siren kereta peronda polis membangunkan mereka yang sedang lena. Terdorong oleh perasaan ingin tahu, ada yang sanggup bersejuk di luar rumah dan menyertai ribut orang ramai di hadapan sebuah rumah yang satu-satunya dicat merah bata di situ.


“Bawa mayat ke hospital,” arah seorang lelaki yang menapak keluar dari rumah terbabit. Di sisinya ada seorang lelaki yang lengkap berpakaian seragam polis. Namanya terjahit kemas di atas kocek kiri baju-Inspektor Shahril.


“Bukankah kita patut bersyukur Tuan?” Sambil melangkah ke dada laman, Inspektor Shahril melontarkan persoalan yang terbuku di hatinya. Lelaki di sebelahnya yang dipanggil Tuan menghembus nafas deras.


“Bersyukur? Kamu jangan tersilau Shah! Pembunuh tetap pembunuh meskipun mangsanya adalah di kalangan para penjenayah yang dikehendaki polis. Dia tidak layak menerima penghargaan dari kita.” Tegas pendirian lelaki berjanggut sejemput itu. Wajah inspektor muda di sampingnya itu dipandang sekilas sebelum dia mengalih pandangan pada anak-anak buahnya yang lain yang sedang sibuk menguruskan baki-baki kerja yang tinggal di tempat kejadian.


“Kenapa pula Tuan? Terfikirkah Tuan kalau bukan kerana pembunuh kita ini, Fabio Manchenta si kepala sindiket dadah di negara kita tak mungkin tersungkur hari ini?” Inspektor Shahril masih tidak mahu mengalah. Dia tetap menyokong perbuatan si pembunuh yang dirasakannya mulia itu.


“Sebab itu bukan cara islam, Shah!” Pendek jawapan yang diberikan Tuan Hanif menampar gegendang telinga Inspektor Shahril. Dia terdiam. Kakinya yang sedari tadi menguis-nguis batu-batu kecil yang bertaburan di celah-celah rumput ditenung.


“Islam mengajar kita untuk menolak kejahatan dengan kebaikan. Umpama kita mencurah air kosong ke dalam gelas yang berisi air kopi. Akhir sekali, kopi tertumpah keluar dan air kosong mengambil tempat. Bukannya dengan kita bertanding kopi siapa yang paling sedap. Kalaupun kita yang menang, kopi yang tidak sedap tu tetap akan ada.” Tuan Hanif memulangkan semula hujah Inspektor Shahril dengan satu analogi mudah. Inspektor Shahril angkat muka, meletakkan pandangan matanya selari dengan wajah Tuan Hanif.


“Kalau begitu Tuan, mengapa kita tak bina sahaja pusat pemulihan akhlak. Kenapa perlu ada polis dan penjara? Kenapa kita tak terus pada pentarbiyahan mereka. Kenapa perlu ada pembicaraan dan hukuman yang berbeza-beza untuk mereka. Malah ada yang dijatuhkan hukuman mati pula!” Agak beremosi Inspektor Shahril membidas penerangan Tuan Hanif namun dilihatnya Tuan Hanif tersengih. Bersimpul urat dahinya melihat reaksi Tuan Hanif.


“Yang Berkuasa sendiri menawarkan peluang untuk bertaubat kepada setiap hamba-Nya. Peluang yang sentiasa terbuka sehingga ke akhir detik nadi. Maka, kita yang fakir ini seharusnya menuruti panduan yang Allah sendiri berikan. Kita bicarakan pesalah agar benar-benar kita dapat buktikan kesalahannya. Jika didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati sekalipun, dia akan dipenjarakan terlebih dahulu dan diberi peluang untuk bermuhasabah dan bertaubat. Berubah atau tidak,menjadi air kopi yang semakin pekat atau berganti dengan air kosong bukan kita yang tentukan tetapi kita sekadar menjalankan tugas kita sebagai Khalifah. Inilah yang membezakan kita dengan pembunuh kita yang berlagak seperti penghukum mutlak ini.”


Inspektor Shahril terdiam lama mendengar penerangan daripada ketuanya itu. Jauh di lubuk hatinya dia tidak menafikan semua itu. Dia sendiri sedar tanggungjawab sebagai khalifah yakni menyuruh kepada yang makruf dan mencegah pada yang mungkar. Dan pelaksanaannya menurut islam bukanlah melalui kekerasan. Sebaliknya dibuat berpandukan ajaran Alquran dan sunnah Rasulullah. Pembunuh yang mereka buru itu telah nyata bertindak mengikut logik dan kemahuan dirinya sahaja.


“Tetapi, bagaimana tuan tahu pembunuh kita ni telah tersalah cara? Mungkin dia telah pun menawarkan peluang tersebut sebelum membunuh?” Ragu-ragu di hatinya terus menagih penjelasan. Biar di akhir nanti, dia pulang dengan pendirian yang tidak seperti lalang.


“Tuan, kita sudah selesai di sini.” Kedatangan seorang anak buahnya mengalih perhatian Tuan Hanif. Inspektor Shahril juga turut sama mengalih fokus.


“Ada apa-apa lagi?”


“Er, ada sesuatu yang mungkin Tuan sudah agak…” Satu beg plastik yang mengandungi bahan bukti diangkat ke atas. Tuan Hanif dan Inspektor Shahril berpandangan. Secebis kertas dengan tulisan yang amat dikenali berada di dalam beg kalis udara tersebut.


“Adiwira.” Inspektor Shahril menggumam. Setelah pembunuhan keempat malam itu, memang sudah dijangka mereka akan menemui carikan kertas dari buku 555 seperti itu di tempat kejadian. Ianya umpama tanda pengenalan si pembunuh. Waktu dan tempat pembunuhan dicatat beserta dengan namanya-Adiwira.


“Inilah jawapannya Shah. Dari awal lagi dia sudah memutuskan waktu dan tarikh ‘hukuman’. Kedatangannya tidak lain tidak bukan hanya untuk melaksanakannya sahaja. Dia menurut kehendak taghut dalam hatinya bukan kehendak agama.“ Ringkas Tuan Hanif bersuara. Inspektor Shahril diam tidak terkata.


******


Sejadah dilipat dua sebelum disidai di hujung katil. Songkok pula ditanggalkan dan diletak di atas meja solek. Dia beralih ke katil, menyelesakan diri di atasnya sebelum mencapai sebuah buku di meja tepi. Muntalaq, buku yang ditatapnya dibuka ke helaian yang telah ditanda. Bacaannya baru sahaja sampai ke bab yang pertama. Tenggelam dalam lautan huruf-huruf yang tertera, ada kalanya dia bersuara kuat tatkala membaca perenggan-perenggan yang sukar difahami. Malah, diulangnya beberapa kali agar kefahamannya bertambah. Kalaupun ada yang masih tidak difahami, dia akan bertanya terus pada Tuan Hanif selaku orang yang menyarankan bahan bacaan tersebut.


Jauhkanlah dirimu dari sebarang al-hawa yang tidak bernama islam.


Baru sebaris sahaja ayat yang ditatapnya namun hatinya terus diruntun penyesalan yang bertimpa-timpa. Al-hawa atau nafsu pernah merajai hatinya. Kerana jengkel dan bengkak hati melihat kemaksiatan berleluasa, dia bersekongkol dengan seorang kenalannya untuk menghapuskan mereka dengan cara yang amat kejam. Kedudukannya sebagai anggota polis digunakan untuk memecah masuk fail-fail sulit pihak polis dan menyerahkannya kepada kenalannya yang akan mengambil tindakan seterusnya.


Meskipun rahsianya tersimpan rapi, namun perdebatan yang tercetus antara dia dan Tuan Hanif minggu lalu, membuka mindanya untuk berfikir semula. Dia kembali menilai cara yang dia gunakan bagi menolak kejahatan yang berleluasa saat itu. Lalu akhirnya, langkah kakinya tertolak ke hadapan pintu bilik Tuan Hanif.


“Ambil buku ini. kamu akan lebih faham.” Dia masih ingat ayat itu tatkala buku tersebut berpindah tangan. Nafasnya dihela perlahan.


Sesungguhnya Allah telah menjadikan al-hawa sebagai bertentang dengan kebenaran, sebagaimana firman Allah S.W.T:


“Hai Daud, sesungguhnya Kami jadikan engkau khalifah di muka bumi maka hukumlah di antara manusia dengan al-Haq dan janganlah engkau turut al-hawa, nanti ia menyesatkan engkau dari jalan agama Allah.” (38:26)


Air liur terasa kesat. Dia masih ingat kata-kata Tuan Hanif.


“Sebab itu bukan cara islam Shah!”


Matanya menyoroti lagi tulisan Muhammad Ahmad Ar-Rasyid itu.


Apabila Al-Haq hanya terletak pada wahyu, maka kebatilan secara automatik terletak pada al-Hawa. Dan secara langsung, pengikut al-hawa adalah bertentangan dengan al-Haq.


Perlahan-lahan dia meraup wajah. Rasa bersalah berbondong-bondong hinggap dihatinya. Matanya dipejam. Beberapa saat kemudian, dia bangkit dari pembaringan. Telefon bimbitnya dicapai. Ada sesuatu yang dia perlu lakukan saat itu. Nama adiwira terpamer di skrin telefon bimbitnya. Butang hijau ditekan.


“Razif, jumpa kat tempat biasa.”


*******


“Kau pembelot!” Lantang suara Razif memetir dalam keheningan malam. Dia diamuk marah apabila melihat lelaki di hadapannya mengacukan pistol. Dia tidak menjangka pertemuan malam itu akan menjadi lain daripada pertemuan-pertemuan sebelumnya.


“Aku tidak belot. Cuma aku mahu berpaling dari terus membantumu.” Tenang suara lelaki itu menyahut. Dia lihat Razif mendengus kasar. Tubuhnya disandarkan di tembok rendah yang dibina mengelilingi dataran bumbung Bangunan Telekom Malaysia. Letakan bangunan tersebut yang terpencil di pinggir bandar Metrojaya menjadikan ia lokasi strategik buat pertemuan mereka.


“Apa yang Tuan Hanif doktrinkan pada fikiran kau hingga kau sanggup buat aku begini Shah?” Kesal dan marah bergelojak dalam suara Razif ketika menyoal. Sungguh dia tidak faham bagaimana inspektor Shahril yang selama ini merupakan penyokong kuatnya kini berpaling tadah.


“Kau masih tak faham lagikah? Sudah aku terangkan tadi apa yang kita buat ni salah. Kita membunuh mereka sebelum mereka diadili. Malah kita langsung tidak beri mereka peluang untuk berubah. Dan yang paling penting, kita sebenarnya menghukum mereka mengikut hawa nafsu. Cara kita ni salah.” Penuh kesungguhan Shahril cuba memberi pencerahan. Dia lihat Razif menggeleng-gelengkan kepala.


“Apa yang salah Shah? Bukankah Allah sendiri yang menyuruh kita memerangi orang yang zalim? Inilah yang aku sedang buat. Farid, orang pertama yang aku habisi itu merupakan perompak yang paling kejam waktu ini. Roy, ketua gangster yang banyak merosakkan pemuda-pemuda zaman sekarang. Zain itu merosakkan anak-anak gadis orang. Dan disebabkan Fabio pula ramai remaja yang terjebak dalam kancah dadah. Zalim bukan?” Suara Razif memuncak. Dia sudah tidak peduli lagi dengan ancaman pistol Shahril. Dia berpaling membelakangi Shahril. Wajah langit malam memenuhi visualnya.


“Ya. Dulu aku juga tertipu dengan hujah ini. Namun kini aku sedar perjuangan ini ada caranya Razif. Kejahatan perlu kita tolak dengan kebaikan agar yang jahat itu nanti kepupusan. Barulah kemenangan itu menjadi pasti. Apa yang kita buat ni tak menjamin kemenangan mutlak kepada kebaikan. Tiada kesudahan bila satu penjahat tumbang lahir pula yang baru sementelah tak mustahil Allah akan hadirkan perompak yang lebih kejam dari Farid atau gangster yang lebih rosak dari Roy.” Shahril tidak berputus asa. Dia sudah semakin jelas dengan jalan yang dipilihnya untuk perjuangan mereka dan dia juga mengharapkan Razif juga faham. Namun lain pula respons Razif. Lelaki itu berpaling menghadapnya dan mengirai satu koyakan kertas di hadapannya.


“Pena aku telah memilih nama kau hari ni Shah.” Pantas sebaik dia selesai berkata-kata, kaki kirinya diayun laju ke hadapan menyepak tin kosong yang berada di hadapannya. Tepat mengena sasarannya. Pistol terlepas dari tangan Shahril yang nampak tergamam dan kaku di situ. Razif pantas pula menerjah ke arah Shahril dan melepaskan tendangan yang mengena dagu. Tubuh Shahril terpelanting ke atas lantai simen yang membaluti permukaan bumbung. Pedang samurai yang sekian tadi tersisip di pinggang ditarik keluar dari sarungnya. Pedang itu dihalakan ke dada Shahril. Bibirnya sibuk membilang masa.


“Aku catatkan masa kematian kau dalam masa dua minit lagi. Aku minta maaf Shah. Aku sifatkan kau zalim kerana menghalang perjuanganku. Dan hukumannya hanya ini.” Razif bersuara keras. Dia melutut di sisi Shahril. Hujung pedang sudah pun menembusi baju kemeja yang tersarung di tubuh Shahril. Hanya menunggu masa untuk lolos ke jantungnya.


“Jangan begini Razif. Aku tidak mahu kau terus begini. Jangan ikutkan nafsu. Marilah kita sama-sama mengubah wasilah perjuangan kita dalam membersihkan dunia daripada kejahatan. Wasilah yang akan memakmurkan dunia dan juga akhirat kita Zif,” rayu Shahril penuh pengharapan. Razif tidak memberikan sebarang reaksi.


“Tiada cara lain Shah. Aku hanya tahu cara ni sahaja.” Razif mendesis perlahan.


“Ada Razif! Ada! Alquran menyarankan kita menolak kejahatan dengan kebaikan! Kebaikan tarbiyah! Kita perangi mereka untuk diadili. Kita cipta masa untuk membetulkan akidah mereka sebelum dihukum! Biar kejahilan yang menerbitkan kejahatan mereka itu terhapus! Paling tidak mereka menjadi baik untuk diri sendiri Razif! Paling kurang mereka sempat beriman dan menyerahkan diri mereka menjadi hamba Allah yang menyesal akan perbuatan mereka sebelum ni!”


“Maaf Shah. Aku tetap tidak percaya.” Hujung pedang semakin rapat ke dada. Kalau bukan kerana obsesnya yang tinggi dalam menepati masa yang telah tertulis tadi, sudah lama dia menarik ajal lelaki itu. Dia seakan megah dengan caranya itu. Seolah-olah nyawa manusia itu terletak dalam kekuasaannya. Meskipun pada dasarnya dia bertujuan menjadikan dunia dipenuhi orang-orang baik sahaja, namun lama-kelamaan rasukan kemegahan itu mengambil tempat di hatinya.


“Enam, lima, empat, tiga, dua, satu…” Razif senyum sinis. Dengan sekuat tenaga dia menekan pedang itu ke dada Shahril.


Ting!


Mata Razif terbeliak. Pedangnya patah dua meninggalkan bucu yang datar dan tidak runcing lagi.


“Apa semua ni?” Razif naik angin. Dia kembali berdiri. Kesempatan itu digunakan sebaiknya oleh Shahril. Dia pantas memaut kaki kiri Razif ke hadapan dan menjatuhkannya. Tanpa berlengah dia bangkit. Dengan menggunakan ilmu persilatan yang dikuasai ketika dalam akademi polis, Shahril menyerang balas. Tangan Razif dipulas ke belakang sebelum dia memaut pula bahu lelaki itu dan melontarkannya ke udara. Razif jatuh terhentak ke simen.


“Kau dah lupa. Aku ni bekas sekutu kau. Aku sudah tau taktik pembunuhan kau menggunakan pedang samurai tu. Jadi aku dah bersedia.” Shahril mengeluarkan sekeping aluminium tebal yang melindungi dadanya tadi. Bulat mata Razif tidak percaya.


“Tak guna!” Razif kehabisan tenaga. Dia terlentang tanpa daya untuk bangkit setelah diserang oleh Shahril tadi. Sendi-sendinya terasa sakit. Apatah lagi tujahan-tujahan Shahril semuanya mensasarkan titik-titik penting pada tubuhnya.


“Mungkin kau tak percaya. Tetapi aku percaya Zif! Aku percaya kerana Rasulullah telah pun membuktikannya. Baginda menolak kejahatan yang dilakukan manusia Mekah dengan kebaikan tarbiyah islam yang dibawanya. Baginda tidak menggunakan kekerasan yang berasaskan hawa nafsu.” Dia berdiri di hujung kaki Razif.


“Pena aku juga telah memilih nama kau hari ni Razif,” ujar Shahril perlahan. Buku 555 warna hijau ditayangkan di hadapan Razif. Lelaki itu hanya memandang lemah.


*****


Dua tahun selepas itu.


“Teh tarik satu.” Dia membuat pesanan ringkas sebaik menyedari pelayan restoran yang disinggahinya mampir. Pelayan tersebut mengangguk dan segera berlalu ke belakang kaunter. Dia pula leka menonton siaran berita. Sekali-sekala dia mencoret sesuatu dalam sebuah buku 555 yang terbentang di hadapannya. Jika tidak menulis, pena emas dengan jalur perak kepunyaannya diputarkan di celah-celah jarinya.


“Agus Samosa.” Satu nama lelaki berketurunan serani terpacul keluar dari mulutnya. Dia mendongak ke langit restoran. Fius ingatannya dikerah untuk mencari sebarang memori yang berkaitan dengan lelaki tersebut.


“Yang masuk mesyuarat tempoh hari mungkin.” Dia bermonolog sendirian. Buku bersaiz A5 itu ditutup. Panjang tangannya mencapai gelas berisi teh tarik yang baru sahaja dihantar oleh pelayan. Seteguk dua sahaja yang dijamahnya. Dua keping not seringgit diselitkan di bawah gelasnya. Kemudian, dia bangun mencapai kunci motor dan berlalu pergi.


“Tuan, tak minum habis?” Pelayan yang sudah biasa dengan kehadirannya di situ saban malam melaungkan soalan. Dia tersengih. Baru dua tiga kali bersembang, dia sudah dipanggil Tuan padahal dia tidak pun berpakaian seperti seorang anggota polis ketika itu. Hanya sesekali dia menceritakan pengalamannya menumpaskan penjenayah-penjenayah terutamanya yang namanya tercatat di dalam buku 555 berwarna hijau itu. Mungkin kerana kebiasaannya menulis terlebih dahulu nama penjenayah yang ingin ditumbangkan dan dibawa ke muka pengadilan, dia diberikan penghormatan sebegitu rupa. Apatah lagi kebiasaannya yang satu itu belum pernah lagi bertemu kegagalan termasuk nama pertama dalam buku tersebut, Razif.


“Ada nama baru dalam bukuku!” Tuan Shahril juga berteriak memandangkan dia dan pelayan tadi sudah pun terpisah oleh sebatang jalan. Dia lalu menghidupkan enjin motosikalnya.


“Doakan kejayaanku!” Cermin topi keledar diturunkan. Dia menunjukkan isyarat bagus pada pelayan tadi yang mengangguk-angguk mendengar permintaannya.


“Insya-Allah Tuan. Allah pasti membantu hambanya yang beriman!” Tuan Shahril tersengih lebar lagi. Itulah slogannya dalam melaksanakan misi membanteras jenayah bermula dengan sebatang penanya. Allah pasti membantu hambanya yang beriman. Pedal minyak ditekan. Motosikal dipecut laju membelah angin.


-TAMAT-


Finished: 11 Sep 2011
Final edit: 1 Oct 2011

Kerana Dakwah Kita Dakwah Kasih Sayang.
Allah pun tak kejam dan sayangkan hambaNya..
Patutkah kita zalim pada sesama hamba?
Walau apa reason mereka,
think it simply..
mereka belum dapat 'something' tu. (perlu kpd rabb dan ilah)

Wallahualam.
0914 PM
Birm, UK.

0 comments:

Post a Comment

~~~TanaH~~~

~~~TanaH~~~
-kerana Logam asalnya Tanah-

Aminkan doa ini..

Ya Allah,



Sesungguhnya Engkau mengetahui hati-hati ini telah berhimpun dalam cinta padaMu,telah bettemu dalam taat padaMu,telah bersatu dalam dakwah padaMu,telah berpadu dalam membela syariatMu,Kekalkanlah Ya Allah ikatannya.



Tunjukilah jalan-jalanNya.



Penuhilah hati-hati tersebut dgn cahayaMu yg x pernah kunjung malap.



Lapangkanlah dada-dada kami dgn limpahan iman kepadaMu dan indahnya bertawakal kepadaMu.



Hidupkanlah yaAllah,hati ini dgn makrifat kepadaMu.



Ya Allah,sekiranya Engkau mentakdirkan mati kepada kami,maka matikanlah kami dalam golongan para syuhada yg berjuang di jalanMu.



Engkaulah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.



Kabulkanlah ya Allah.Dan sampaikanlah salam kepada junjungan nabi kami,Muhammad saw kepada keluarga,para sahabatnya dan juga sampaikanlah salam.