Salam..
Terlunas sudah hasrat saya untuk berkongsi cerita ini yang tak seberapa. Watak-watak hanyalah rekaan tinggal watak utama
sahaja yang wujud dan bernafas seadanya di muka bumi ini.
[Cerpen] Kuasa Bukan di Tanganmu
Suatu hari nanti…
Aku akan punya medan…
Tempat aku bermain dengan jari-ja
riku di atas papan kekunci..
Menaip patah-patah kata yang menggegarkan..
Dan memikat ummah..
Kembali pada jalan yang diredhainya..
Tulisan dan bicaraku..
Aku akan pastikan ia
Mengusik dan memberi peringatan ..
Pada mereka yang sudah pun berada di jalanNya.
Suatu hari nanti..
Dengan kuasa pena yang satu ini..
Aku akan jadi murabbi yang hebat..
Setiap binaanku akan menjadi pejuang qawiyy…
Suatu hari nanti..
Aku akan terbang tinggi dan menakhluk langit..
Jari-jariku tiba-tiba terhenti kaku di atas papan kekunci. Aku ingin menulis lagi. Masih ada lagi ekspresi diri dan impian yang ingin aku lakarkan. Namun, entah kenapa aku tak dapat menterjemahkannya ke dalam bentuk tulisan. Jarum jam yang pendek sudah mengunjuk ke angka 6 sementara yang panjang pula makin hampir ke angka 3. Di sini, di negara Queen Elizabeth ini waktu subuh di kala musim sejuk akan masuk sekitar jam 6.30 pagi. Ada kira-kira 15 minit lagi sebelum masuk waktu. Aku pejamkan mataku yang sudah terasa pedih dan berair. Mana tidaknya, sudah hampir semalaman aku menghadap komputer untuk menyiapkan cerpenku yang bertajuk L.U.F. Sebuah cerpen yang aku tulis tentang konsep sayang kerana Allah yang acapkali disentuh dalam usrah-usrah mingguanku. Sebaik sahaja aku memuatnaik cerpen yang sudah sempurna penghasilannya itu ke blog, aku teringin pula menulis rangkap-rangkap puitis tentang masa depanku yang ingin kugapai.
Tetapi, yang menjadi kemusykilanku ialah apabila mataku sudah mula sakit dan berair, pasti ia akan jadi sangat lama dan sakitnya tidak akan berkurang melainkan jika aku tidur untuk beberapa ketika. Setelah beberapa kali masalah yang sama berulang, akhirnya aku kira aku perlu berjumpa dengan doktor. Sekilas aku melirik pada kalendar yang terlekat di dinding di tepi meja belajarku. Ada tarikh yang aku bulatkan dengan pen merah. 3 November. Tarikh temujanjiku dengan doktorku. Berdebar pula hatiku mengingatkan tarikh yang makin hampir itu. Mungkin sebabnya ialah aku sendiri tidak tahu apa masalahnya maka aku terasa kecut perut pula dengan temujanji tersebut.
Fiq, cek emel!
Tersentak aku apabila dikejutkan dengan bunyi siren tanda ada yang menegurku di skype. Sengaja aku tetapkan bunyinya sebegitu agar aku lebih peka namun pagi-pagi buta sebegini, mahu aku terlompat juga dari kerusi. Cek emel? Tetingkap dialog yang muncul itu dari Akim. Aku memang tahu Akim suka bangun awal dan kebiasaannya, dialah yang akan mengejutkan rakan-rakan serumah yang lain untuk solat subuh berjemaah. Emel apa pula yang perlu ditengok sampai tak boleh tunggu hari siang ni?
Pantas tangan kananku mencapai ipod yang berada di sebelah. Aku menekan lambang sampul surat yang terus membawa aku ke tetingkap emel. Lebih pantas dari akses menggunakan komputer. Emel terbaru menjadi sasaranku yang pertama. Eh, emel dari Syarikat Pesona Mutiara.
Assalamualaikum kepada saudara-saudari yang dihormati,
Sukacita dimaklumkan bahawa anda semua terpilih sebagai salah seorang peserta bengkel penulisan dalam talian Pesona Mutiara bersama penulis unggul Ilham Mukhriz.
Terkoyak senyuman di wajahku. Baris pertama yang tertera di dalam emel itu nyata menyegarkan mata dan serta-merta keletihan akibat tidak tidur semalaman lenyap. Hatiku melonjak-lonjak kegembiraan. Patutlah Akim bagai tidak sabar memberitahu aku. Rupa-rupanya emel yang selama ini kami nantikan akhirnya singgah di peti masuk emel kami. Aku dan Akim memang sama-sama cintakan dunia penulisan tinggal kami tidak banyak mendapat pendedahan sahaja. Justeru, panggilan untuk menyertai bengkel penulisan dalam talian anjuran syarikat penerbitan yang besar seperti Pesona Mutiara ini memang satu peluang keemasan buat kami. Lebih-lebih kesemua peserta yang terpilih akan ditawarkan peluang menghasilkan karya bersama syarikat tersebut sekiranya berjaya menonjolkan bakat masing-masing semasa bengkel nanti. Aku mula terbayang kemegahan yang bakal kukecapi.
Seronoknya!
Patutlah kau tak tunggu siang nak bagitau aku.
Laju aku menaip.
Haha.
Siang lah ni.
Nak masuk subuh dah.
Rasulullah dan sahabat dulu berperang waktu subuh tau.
Menang besar.
Aku tersengih membaca balasan Akim.
Memang.
Kita nak berperang dengan siapa pula pagi-pagi ni?
Bukannya kita ada kat Palestin pun.
Sengaja aku provok sahabatku merangkap rakan sekuliahku dalam bidang Chemical Engineering di University of Birmingham itu padahal aku sendiri mampu memikirkan jawapan kepada persoalanku. Perang bukan sekadar di sana.
Ala Fiq.
Pura-pura tak tahu pula.
Nak perang bukan setakat guna senapang.
Perang lawan tidur berlebihan.
Lawan setan yang peluk kau masa tidur tu.
Sesaat tidur yang terlebih entah berapa banyak rezeki yang tertutup.
Entah-entah doa kita untuk saudara-saudara di Palestin setiap hari Allah nak makbulkan tapi sebab kita doa tak cukup sesaat, Allah tahan lagi.
Ha, siapa yang salah sebab tak perang dengan tidur dia?
Aku tersengih lagi. Pandai betul Akim berbicara. Memang benar pun. Kita belum mampu lagi mengangkat senjata. Yang perlu dilakukan sekarang ialah melawan jahiliyyah dalam diri dan menguatkan akidah. Kalau untuk melawan rasa ingin berlama-lama untuk tidur pun payah lantas bagaimana ingin pergi berjihad?
Saja nak dengar tazkirah subuh.
Dah masuk waktu ni.
Solat jom.
Tercetus azan subuh dari program Athan yang aku muat turun ke dalam komputer ribaku setahun yang lalu pada waktu aku baru sahaja menjejakkan kaki ke bumi UK ini.
Jom!
Aku bingkas bangun sebaik sahaja aku matikan komputerku. Puisiku yang tergantung tadi sempat aku simpan di dalam fail yang khusus. Mungkin suatu hari nanti bila ilhamku datang kembali aku akan melengkapkannya. Terdetik di hatiku untuk solat syukur atas peluang yang baru sahaja Allah nampakkan dihadapanku dalam usahaku mengejar impian. Lalu, tanpa berlengah lagi aku ke bilik air untuk mengambil wudhu.
**********************************************************************************
Tanganku menggeletar. Aku masih lagi duduk di kerusi hijau yang mungkin empuk pada sesiapa yang tidak gelisah sepertiku. Di hadapanku ada pintu yang memisahkan aku dengan ahli optikku. Aku tidak tahu apa yang dia lakukan di dalam biliknya itu tetapi kata-kata yang dia ucapkan padaku sebelum dia menghilang ke dalam bilik itu benar-benar membuatkan aku tidak senang duduk.
"It seems that you had missed some points. This may indicate some problems regarding you eyes. Are you fine if i want to refer you to a specialist?"
Aku diam namun aku anggukkan juga kepala. Aku ingin bertanya lebih lanjut namun lidahku kelu. Ujian mata yang diberikan kepadaku sebentar tadi adalah satu ujian yang baru dan belum pernah aku lalui. Ujian yang berkisar tentang medan penglihatan dimana mata perlu difokuskan pada satu titik cahaya tetapi pada masa yang sama ia perlu mengesan kehadiran cahaya-cahaya lain yang akan muncul di luar titik fokus tersebut. Nampaknya ada cahaya yang tidak dapat aku kesan semasa ujian tadi.
Aku peluk tubuh. Terasa lama pula aku dibiarkan sendirian di luar. Aku buka beg sandangku dan sebuah buku bersaiz A5 kubawa keluar. Buku itu mengandungi intisari rancangan ataupun jadual harianku. Aku belek pada muka surat yang mengandungi jadualku untuk minggu itu.
Ada 3 video ceramah yang perlu aku sunting.
Ada dua cerpen yang menanti aku untuk dilengkapkan.
Ada satu puisi yang perlu aku siapkan untuk dihantar ke grup majalah bulanan kawasan.
Semuanya berkait rapat dengan dunia media yang aku letakkan fokus sebagai medium dakwahku. Tambahan pula aku merupakan salah seorang AJK media untuk kawasan Birmingham. Dan yang paling penting, posisi dan bakat yang kumiliki meletakkan aku di trek yang betul dalam mengejar cita-citaku. Namun, kalau mataku bermasalah tentu sukar untuk aku menyiapkan projek-projek ini semua dan perjalananku pasti terhalang.
"Sorry to make you wait."
Aku angkat wajah. Tangan yang sedikt menggeletar aku bawa lari ke belakang. Aku tunggu kata-kata seterusnya dengan penuh debaran.
"I will send a letter to the specialist and you should get an appointment within 4 weeks. Then you will know what is wrong with the eyes. Is that okay?" Lembut tutur bicara wanita berusia di awal tiga puluhan itu dalam penerangannya kepadaku. Aku gumam bibir. Perlahan aku tarik nafas. Terpaksa pula menanti temujanji dengan doktor pakar.
"Ok then. Is there anything else?" Dia tersenyum.
"In the meantime, i should advise you to avoid working with computers or under bright lamp. Your eyes seem to be very sensitive towards them and i guess it tears you eyes regularly right?"
Tanpa sedar aku angguk mengiyakan. Tekaannya bertepatan dengan keadaan yang aku alami. Namun nasihatnya yang meminta aku menjauhkah diri dari komputer menyentak hatiku. Mana boleh! Separuh daripada kerja-kerjaku membuatkan aku berulit dengan komputer!
"However, as a student you might have to use them. So, if just in case you need it, i think two hours per day should be enough." Mungkin dia perasan riak wajahku yang berubah seratus peratus sebentar tadi lalu dia memberikan sedikit alternatif. Aku tolak cermin mata yang terlurut kembali kepada tempatnya. Dua jam sangat tidak memadai untukku tetapi aku takut untuk membantah. Bimbang ianya ditarik balik pula. Cukup baiklah dia benarkan aku untuk menggunakan komputer dua jam sehari daripada tak dapat langsung.
"Hmm..may i leave now?" Aku sudah tidak mahu berlama-lama lagi di situ. Banyak pula nasihat-nasihat yang aku mahu elakkan disebutkannya nanti. Dia mengangguk. Aku bingkas berdiri dan sebelum aku berpaling sempat dia berpesan,
"Dont worry! If there is nothing wrong, you may get to use them as usual!" Aku sambut dingin kata-kata itu. Yela, tu kalau semuanya ok. Ujian tadi pun tak lepas macam manalah aku nak berharap tiada apa-apa masalah pun?
**********************************************************************************
Tamat!
Aku tarik nafas lega. Bengkel penulisan dalam talian bersama Ilham Mukhriz selama sehari suntuk telah pun berakhir. Bengkel ini agak unik kerana ia dijalankan hanya menggunakan paltalk sebagai mediumnya. Walaubagaimanapun, peserta dapat menonton penyampaian secara langsung melalui saluran U-stream. Ilham Mukhriz atau nama penanya Alim memang sangat terkenal di kalangan penulis-penulis bahan tarbiyah. Kalau A Samad Said atau Kemala dikenali hebat kerana tingginya nilai kesusasteraan dalam karya-karya mereka maka Alim lebih hebat lagi menurut perkiraanku. Sebabnya? Menurut pemerhatianku, masih belum ada lagi yang mampu menandingi Alim yang bijak dan pintar menerapkan konsep tarbiyah dan pengislahan diri dalam sesebuah karya yang turut dihiasi dengan elemen-elemen kesusasteraan yang tinggi. Sesuai dengan namanya. Alim memang merupakan salah seorang alim mujahid yang menjadi contoh padaku.
"Fiq, dah habis dah? Jom makan!" Suara garau yang amat aku kenali menegur. Aku toleh ke pintu. Abang Asri sedang bersandar pada pintu bilikku. Aku senyum. Abang Asri ini merupakan seniorku di Birmingham dan dia merupakan pelajar jurusan matematik. Bakal guru.
" Baru je. Akim tak turun? Dia keluar awal tadi dari bengkel. Saya pun tak tahu kenapa." Tanpa dipinta, aku bersuara. Abang Asri hanya menghadiahkan senyum segaris.
" Kita makan dulu. Sambil-sambil makan nanti abang cerita," ujar Abang Asri sambil menarik tanganku agar menurutinya ke dapur. Aku tidak membantah sementelah aku sendiri pun memang sedang lapar. Aku agak teruja melihat lauk-pauk yang terhidang. Ada sambal udang dan sotong goreng tepung. Sup sayur pun ada. Abang Asri kalau bab memasak memang hebat. Tak rugi serumah dengan dia.
" Sebenarnya Fiq, Akim keluar dari bengkel tadi bersebab." Suara abang Asri memecahkan kesunyian yang mengambil tempat sebaik kami memulakan suapan. Dia diam sebentar tidak meneruskan kata-katanya. Mungkin dia menanti responsku. Aku angkat kening. Suapanku sudah masuk yang ketiga dan kerana keenakan makan malam yang sedang aku nikmati aku jadi lupa pada persoalan tentang Akim yang berlegar dalam kepalaku sebentar tadi. Bersebab? Kenapa dia tak beri tahu aku pun?
" Tiba-tiba ke? Kenapa saya tak tahu pun?" Reaksiku berbentuk pertanyaan. Aku lihat Abang Asri meneguk minumannya beberapa kali sebelum pandangannya difokuskan pada aku.
"Akim ada perjumpaan dengan Lujnah media." Pendek jawapan Abang Asri namun cukup mencetuskan ombak kejutan padaku. Aku cuba menyelesakan dudukku pada sofa merah hati. Abang Asri yang sedang duduk di sofa berkembar tiga warna kuning cair dihadapanku aku pandang lama. Aku cuba mencari jawapan pada wajahnya.
"Sejak bila Akim terlibat dengan media? Kenapa saya tak diberi tahu tentang mesyuarat ni? Bukan ke saya..."
" Tidak lagi!Sekarang bukan lagi Fiq. Bukan." Sekali lagi hatiku bagai dipanah petir. Bukan lagi? Apa maksudnya? Adakah aku telah dilucutkan dari anggota lujnah media tanpa pengetahuanku? Berita itu hanya dikhabarkan melalu abang Asri yang serumah denganku? Mengapa Khair Alamin yang mengetuai lujnah media tidak menghubungi aku sendiri? Kalau ada kerjaku yang tidak memuaskan, patutlah berbincang dengan aku dulu bukan?
"Kenapa?" Ada nada getaran dalam suaraku. Aku terasa seperti dihina. Bukankah aku lebih layak dan lebih berbakat dari Akim? Pinggan makanan bagai tidak terasa di tanganku lalu aku letakkan di tepi sofa agar tidak terlepas. Boleh jadi insiden yang sedang berlaku ini bertukar dramatik. Seleraku hilang dibawa lari khabar perih dari Abang Asri.
" Akim akan gantikan Fiq. Insya- Allah apa yang Fiq dah mulakan dulu akan disambung oleh Akim." Tanpa menjawab soalanku, abang Asri terus berbicara. Aku jadi bengang.
" Tapi kenapa bang? Apa salah saya?"
"insya-Allah Akim boleh buat. Fiq dah tak perlu risau pasal media lagi. " Aku kira abang Asri masih mahu berkata-kata lalu dengan sekuat hati aku baling sebiji beg tidur yang terdapat di tepi sofa. Tepat mengena abang Asri yang tergamam dengan tindakanku. Mujur dia sempat menahan dengan lengannya.
" Saya tanya kenapa?" jeritku lantang. Aku bagai histeria. Berulang kali aku menyoal tetapi abang Asri buat tidak endah. Air mataku menitik laju bagai tidak dapat dibendung. Aku terluka dengan khabar yang baru aku terima. Dan aku lebih luka dengan sikap tidak peduli abang Asri. Aku menangis di belakang kedua-dua lututku yang aku rapatkan ke dada. Tangan kananku yang masih diselaputi sisa-sisa makanan tidak aku hirau.
" Sebab sayangkan Fiq..." Aku dengar lirih suara abang Asri menjawab namun aku sudah tidak peduli. Saat itu, aku rasa benci pada semua orang. Aku pasti aku benci mereka yang aku rasakan sudah berkomplot untuk mengenakan aku. Semuanya termasuklah Akim.
"Semua orang sangat-sangat ambil berat pada Fiq. Semuanya tengah risaukan keadaan Fiq sekarang. Jadi kami putuskan untuk kuarantinkan Fiq selagi Fiq belum jumpa doktor pakar lagi. Kita kena elakkan yang mudarat." Ada pelukan yang singgah di bahuku. Aku cuba meronta namun ia terlalu kejap. Abang Asri mengusap rambutku perlahan. Dia berusaha memujukku dan terus menenangkan aku. Beberapa helai tisu dia capai dan tanpa dipinta dia membersihkan tanganku. Aku terus dalam esak tangis. Aku terasa menyesal pula saat itu dengan keputusanku berjumpa dengan doktor. Kalau tidak, mungkin pengakhirannya tidak begini.
"Rasanya tidak keterlaluan kalau abang minta Fiq mengalah dengan tawaran dari syarikat Pesona Mutiara itu." Perlahan dia berbisik namun sampai ke telingaku. Berrtambah hebat esak tangisku. Mana mungkin! Cerpenku baru sahaja dicalonkan sebagai cerpen terbaik susunan nilai moral dalam Majlis perhimpunan Penulis-Penulis Baru. Kejayaan menjadi calon itu sudah cukup meyakinkan wakil dari syarikat Pesona Mutiara semasa bengkel tadi untuk memilih aku sebagai salah seorang penulisnya. Aku baru sahaja ingin membina nama dan tapakku dalam bidang penulisan. Aku sedang mendaki impianku. Tetapi...
"Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu perkara padahal itu baik bagimu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."
Bukanlah meredakan namun menambah lagi lebat tangisanku. Lunak suara abang Asri mengalunkan ayat 216 surah albaqarah meruntun hatiku. Tambah sedih.
"Tapi saya kan masih ada dua jam yang dibenarkan?" Serak suaraku memuntahkan soalan. Abang Asri gelak kecil. Mungkin tidak sangka aku masih tidak mengalah.
" Al-awla dik. Utamakan yang utama. Jurusan Fiq kan banyak kerja rumah yang perlukan komputer. Dua jam tu kenalah dimanfaatkan sebaiknya supaya berbaloilah Fiq berhenti buat kerja-kerja media dulu. Nanti waktu cuti kalau tak ada kerja boleh lah Fiq cuba-cuba tulis cerpen lagi." Lama aku diam berfikir.
" Saya tak boleh terima semua ni..."Aku menggelengkan kepala. Semuanya terlalu kejam buatku. Aku dapat rasakan betapa kaburnya masa depanku saat itu. Impian dan cita-cita yang aku garap musnah begitu sahaja. Sekejap dan tanpa aku pinta, aku telah hilang segalanya yang aku miliki.
"Boleh ke sekarang ni saya nak nangis je dulu..."Wajahku aku sembamkan pada peha abang Asri. Aku hanya ingin menangis.
"Boleh dik..boleh..."
**********************************************************************************
Seminggu.
Dua minggu.
Sebulan.
Mungkin sudah lebih dari sebulan.
Aku keletihan. Penat aku mengejar sesuatu yang aku cuba fokuskan selama sebulan ini. Mengejar jiwa-jiwa baru yang ingin kubentuk. Adik-adik binaanku. Namun, hampa tidak henti-henti pula mengunjungiku. Bermacam alasan diberikan tatkala aku ingin mengajak mereka bertemu demi sebuah majlis beriman bernama usrah. Puas aku ceritakan manisnya iman bila berada di tahap tertinggi, puas aku khabarkan indahnya ukhuwwah dari jalur usrah itu dan puas aku beritakan indahnya islam bila ummatnya mengamalkan islam. Semuanya merupakan intipati usrah yang aku harap mereka dahagakan namun tiada seorang pun yang menyahut panggilanku.
Aku rasa tidak berguna.
Aku fikir Allah sedang menghukumku.
Ada perasaan negatif yang mula menjalar menguasai hatiku.
` Tuk! Tuk! Tuk!
" Fiq, dah solat?" Aku diam tidak menyahut. Aku berbaring lemah di atas katil. Lengan kiriku aku silang dan baringkan di dahiku. Aku benar-benar tidak ada upaya dan semangat untuk bangkit.
Pintu bilikku dikuak.
"Dah solat ke dik?" Abang Asri mengulang soalannya. Aku pejam mata. Aku mahu dia tahu aku tidak mahu menjawab soalannya saat itu.
"Adik." Abang Asri cuba merapat padaku. Dia menarik lengan yang menutupi dahi dan kedua-dua belah mataku. Aku pantas menepis.
" Apa kes ni bang? Kalau abang nak solat sangat solat je la!" Kasar aku bermain bahasa. Peduli apa aku pada adab sopan dan tatasusila terhadap orang yang lebih tua. Yang penting aku tak mahu diganggu saat itu. Kalau dikutkan aku memang mementingkan diri tetapi nafsu ternyata berjaya merosakkan kerasionalan fikiranku.
"Kalau ya pun ada perkara yang menyerabutkan fikiran, solat kena jaga juga. Itulah perisai dari buat benda yang bukan-bukan untuk selesaikan masalah. Jaga hubungan dengan Allah baru Allah akan tolong kita jaga hubungan dengan manusia." Abang Asri masih setia berdiri di tepi katilku. Aku tahu dia masih berharap aku bangkit dan menyertai dia untuk solat berjemaah. Akim juga pasti masih setia menanti di tingkat atas.
" Peduli apa! Selama ni saya solat. Saya doa. Tapi yang saya dapat semuanya bukan apa yang saya minta. Doktor saya tak hubungi saya pun lagi walaupun dah empat minggu. Sampai bila saya nak dikuarantinkan? Sampai bila saya tak boleh sentuh media. Cerpen-cerpen saya sebelum ni semuanya belum cukup bagus untuk menang pencalonan dalam mana-mana anugerah. Kalau tak menang macamana saya nak sampaikan fikrah saya pada orang lain?"
Aku tarik nafas. Ada lagi yang ingin aku muntahkan.
"Sekarang Akim dah ambil tempat saya bang! Saya yang lebih layak dan berbakat mentarbiyah orang melalu penulisan tetapi ini pula jadinya?Anak-anak usrah saya pula semuanya menolak. Apa yang saya buat semuanya tak menjadi. Saya rasa Allah sedang cakap padan muka pada saya. Dia sedang gelakkan saya. Saya rasa tertipu dengan nikmat dan bakat yang Dia bagi pada saya. Dia buat saya jatuh cinta pada dunia penulisan tapi dia tak izinkan pun saya gunakan bakat tu. Dia hancurkan masa depan saya. Dia...."
" Bongkak!" Sepatah perkataan dari abang Asri mematikan lauahan kata-kataku. Bongkak?
" Kau ni hamba kepada Allah ke Tuan kepada Allah?" Aku telan liur. Aku tak pernah lihat abang Asri marah sebegitu. Wajahnya merah padam.
" Siapa beri kau hak nak cakap Allah dah hancurkan masa depan kau? Masa kau sekarang ni pun Allah yang tentukan. Masa depan kau termasuk masa mati kau pun Allah dah tentukan sejak kau belum keluar pun dari perut mak kau! Siapa pula yang beri kau hak untuk bagi arahan pada Allah? Oh Allah, bagi aku ni.. oh Allah aku tak nak yang ni..."
Aku diam tidak menjawab. Sebetulnya aku dikuasai emosi. Melayan emosi yang sedikit demi sedikit menghakis kepercayaan dan pergantunganku pada Allah. Mungkin ayat-ayatku keterlaluan lebih-lebih lagi ianya lahir dari mulut seorang pembawa risalah islam.
"Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. Kau tak sabar. Sebab berita gembira setelah ujian yang menimpa tu adalah untuk orang yang sabar. Macam manalah Allah nak bagi kau berita gembira kalau diuji sedikit pun kau dah mengalah? Hello! Kat luar sana ada ramai lagi yang diuji lebih hebat. Ada yang hilang penglihatan dalam kemalangan jalan raya tanpa ada apa-apa persediaan pun. Ada yang lumpuh sebab jatuh tangga dalam rumah sendiri kot."
Tetap aku diam. Aku tidak tahu reaksi apa yang perlu aku tunjukkan. Telingaku berdesing. Hatiku bergetar setiap kali abang Asri membicarakan soal kebesaran Allah. Hakikat yang Allah sebenarnya sedang mengujiku bukannya menghukum kerana tiada sifat penghukum dalam sifat-sifat Allah pada hambanya di dunia. Nyata emosiku telah membawa aku jauh tersasar.
" Saya tak dapat kawal perasaan tadi. Saya minta maaf." Lemah aku menuturkan kata-kata. Aku terasa sakit dan perit dengan bait-bait kata yang keluar dari mulut abang Asri namun sinis kata-katanya benar-benar menyedarkan aku yang hanyut dibawa arus perasaan.
"Aku rasa memang patut pun Allah aturkan hidup kau macam ni. Sebab Allah beri kau sayap bukan untuk kau takhluk langit tetapi nak suruh kau cahayakan langit itu dengan agama-Nya. Dan untuk cahayakan langit tak perlu pun kau jadi raja. Tetapi disebabkan kau terlalu mahukan posisi itu dan kau anggap hanya dengan kuasa barulah kau dapat berdakwah maka kau silap. Kau hanya mahu jadi daei yang gah dan hebat dalam penulisan. Kau bongkak bila penulisan kau mampu menyentuh hati-hati manusia. Kau fikir kau seorang je yang layak berdakwah dengan pena. Kau tak sedar kau sedang mendabik dada. Pengiktirafan tu hanyalah ganjaran dunia. Yang penting walaubagaimanapun cara kita menyampaikan fikrah, semuanya dipusatkan dan didasarkan dengan niat mengejar keredhaan Allah. Kita yang kejar redha Allah dulu barulah ornag yang kita dakwahkan pun akan buat benda yang sama. Dan kalau sampai dah macam ni pun kau tak sedar lagi memang sampai bila-bila kau akan terus terhukum begini. Sampai bila-bila kau akan jadi burung yang patah kaki walau cantik mana pun sayapnya. Allah sedang menunggu kau bermuhasabah dik..."
Suara abang Asri sudah mula dilembutkan. Mungkin dia juga terbawa-bawa oleh emosi tadi. Setelah aku meminta maaf barulah dia menurunkan nada suara dan duduk di birai katilku.
" Ada dapat buku yang abang kirim pada Akim semalam?" Aku tunduk. Perlahan aku angguk. Aku terbayang buku bertajuk Di Dunia Ada Syurga karangan Asma Nadia. Buku itu aku selak sekejap semalam.
"Buku tu tentang mereka yang tak pernah berhenti berharap pada Allah. Bacalah. Kau akan temui sesuatu. Kadangkala kita lupa di sebalik usaha dan impian yang kita kejar, ada satu yang kita perlu jaga walau di mana kita berada. Kethiqahan pada Allah. Hubungan kita dengan Dia. Mereka yang berjaya di luar sana juga dahulu pernah gagal tetapi kerana yang satu itu mereka pelihara mereka masih mampu berdiri kukuh. Allah tidak membebani hambanya melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Fiq pasti mampu. Sebab tulah Allah pilih Fiq. Bukan orang lain."
Aku tarik nafas. Mungkin kau benar Abang Asri.
"Fikir-fikirkanlah...muhasabahlah diri sebanyak mana masa yang kau perlukan. Abang naik dulu. Lagi sepuluh minit kau tak naik kami solat dulu. Kesian Akim. Lama dia tunggu kat atas." Serentak dengan kata-katanya, dia mengorak langkah ke atas.
Aku tinggal sendiri. Mata dipejam rapat. Aku cuba menghadam kembali setiap patah kata abang Asri. Benarkah aku sebenarnya tenggelam dengan kehebatanku hingga aku terlupa niat asalku? Dan kerana itukah, Allah mengujiku dengan ujian sebegini?
**********************************************************************************
Suatu hari nanti,
Aku akan terbang tinggi dan menakhluk langit,
Namun posisiku bukanlah untuk aku berbangga,
Sebaliknya menambah lagi usahaku,
Untuk memburu mardhotillah,
Tinta dan kalamku akan terus terasah,
Aku akan tetap jadi hebat.
Aku akan tetap jadi murabbi seperti yang aku dambakan..
Namun semuanya hanya kerana Dia..
Dia yang telah memberikan aku sayap.
Untuk aku terbang menggapai awan.
Aku senyum. Puisi ni pernah aku karang dahulu namun aku tidak punya ide untuk melengkapkannya. Hari ni barulah aku berjaya. Mungkin pada waktu itu aku terlupa ke mana arah aku menulis. Betulkah untuk ummah seperti yang aku ceritakan dalam rangkap yang pertama? Betulkah untuk memberi peringatan? Hatiku tahu jawapannya. Mungkin pada awalnya itu memang tujuanku namun setelah beberapa lama dan bakatku mula diakui, aku mula membayangkan kemegahan sekiranya aku berjaya mengubah manusia dengan karyaku. Aku terlupa dengan rasa rendah diri yang menemaniku saat aku mulakan langkahku. Mujur Allah mengirimkan peringatan padaku dengan menarik sebentar nikmat yang telah diberikan kepadaku. Kalau tidak mungkin kini aku sudah jadi penulis yang futur. Karya hebat mentarbiyyah tetapi penulisnya diselubungi kesombongan, sifat yang menyebabkan golongan syaitan tercampak keluar dari syurga suatu masa dahulu.
Kini aku bersyukur. Setelah setahun yang penuh cabaran aku tinggalkan di belakang aku masih ada di sini. Di dalam dunia penulisan. Media masih lagi menjadi sentuhanku. Namun kali ini aku lebih matang dan bersikap positif. Pada Allah aku memohon ampun dan petunjuk. Pada dia aku rapatkan diri dan ternyata benarlah janjinya. Masalah mataku tidak ada kaitan dengan penggunaan komputer berlebihan tinggal cuma aku perlu berehat sekiranya mataku keletihan. Kornea mataku hanya sedikit terjejas akibat terdedah kepada sumber UV yang banyak. Maka, aku boleh kembali menggunakan komputer seperti biasa. Paling mengharukan, ada dua daripada anak usrahku yang tesentuh dengan tulisanku lalu mereka datang kepadaku dan menyatakan hasrat untuk berubah. Maha suci engkau ya Allah. Dan meskipun namaku tidak segah penulis lain malah nama Akim lebih mnyerlah dariku tetapi aku bahagia dengan setiap karya yang aku hasilkan kini. Setiap karyaku adalah untuk ummah dan aku cuma mengharapkan keredhaan Allah setiap kali aku menulisnya. Semoga pembacaku juga mendapat limpahan rahmat dan hidayah yang sama. Amin.
-TAMAT-
p/s: reguklah ibrah sebanyaknya. Jangan jadi macam Fiq yang obses pada posisi yang dimiliki.
Wallahualam.
Khas buat diri sendiri
Tapi tak mahu orang lain buat benda yang sama.
Selami mesejnya..
1800
Birm, UK